Kaedah penyiaran DTV Televisyen_digital_di_Malaysia

Televisyen satelit

Era televisyen digital di Malaysia bermula dengan pengenalan perkhidmatan televisyen satelit Astro pada tahun 1996. Astro kini memancarkan lebih kurang 80 saluran televisyen langganan tempatan dan antarabangsa, mematuhi piawaian DVB-S dan memancar video dalam format MPEG-2 melalui jalur Ku dalam spektrum elektromagnet, menggunakan transponder sistem satelit MEASAT. Pemancaran isyarat Astro mudah terjejas oleh hujan di kawasan yang beriklim tropika, akibatnya menyebabkan gangguan dalam penerimaan siaran.

Astro juga merupakan penyiar pertama yang memperkenalkan televisyen definisi tinggi (HDTV) menerusi pancaran satelit kepada orang umum menerusi perkhidmatan Astro B.yond pada akhir tahun 2009.[1]

Televisyen kabel

Pada Oktober 2008, Astro melancarkan Astro Mobile TV yang pada masa ini menyediakan 18 saluran, di mana kesemuanya adalah versi mudah alih saluran TV Astro yang sedia ada, termasuk tujuh saluran dalaman. Perkhidmatan ini hanya tersedia untuk pelanggan Maxis dengan 2.5G serasi atau telefon bimbit 3G, dan tidak mengulangi peranannya daripada televisyen kabel Maxis TV.

Televisyen terestrial

Pada 2005, Kementerian Penerangan mengumumkan rancangan pendigitalan siaran televisyen percuma seluruh negara yang diterajui Radio Televisyen Malaysia.[2] Siaran percubaan dijalankan melibatkan seribu rumah tangga di Lembah Klang mulai September 2006 hingga Februari 2007. Menurut Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Chia Kwang Chye, percubaan ini menerima maklum balas yang amat memberangsangkan, iaitu "lebih 60 peratus menyatakan mutu isyarat adalah dari bagus ke amat bagus, lebih 88 peratus berkata mutu gambar bertambah baik, sementera 70 peratus berkata mutu bunyi lebih bagus."[3] Media Prima dijangka memulakan ujian DTV pada bulan Mac 2009.[4]

Menurut Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, RTM dijangka menyiapkan sepenuhnya proses pendigitalannya menjelang tahun 2012 sebagai sebahagian langkah penstrukturan semulanya.[5] Setelah memasang kelengkapan yang diperlukan (kotak atas set atau set iDTV), penonton dijangka menerima sebanyak 19 saluran: tujuh di bawah bumbung RTM dan selebihnya di bawah penyiar swasta seperti Media Prima (TV3, ntv7, 8TV dan TV9).[6]Setakat ini, di samping menyiarkan TV1 dan TV2 serentak dengan siaran analog, RTM juga menyampaikan RTMi (TVi), Muzik Aktif dan Arena hanya melalui platform digital, dipancarkan pada saluran 44 UHF, dan dimodulatkan pada 64QAM.[7] RTM juga dijangka menambahkan saluran setempat untuk negeri-negeri dan wilayah-wilayah dalam proses pendigitalan.[8]

Malaysia dan seluruh negara ASEAN (kecuali Filipina yang memilih ISDB) memilih DVB-T sebagai piawaian penyiaran televisyen digital, dan dijangka melupuskan siaran analog sepenuhnya menjelang tahun 2018.[9] Pada bulan Jun 2008, para hadirin Mesyuarat Penyiaran Digital ASEAN ke-6 dari tujuh buah negara Asia Tenggara (termasuk Malaysia) bersetuju menetapkan spesifikasi kotak atas set TV digital untuk kegunaan penduduk anggota-anggota ASEAN, serta mewujudkan Pusat HD ASEAN yang bertujuan menyediakan latihan pengendalian kandungan HDTV bagi penyiar negara anggota.[10]

Setakat Julai 2011, tiada berita mengenai pelaksanaan televisyen terestrial digital, tetapi ada kemungkinan bahawa RTM akan beralih pula ke teknologi DVB-T2 sebagai pengganti DVB-T untuk tujuan itu.

IPTV

TM pula telah melancarkan khidmat IPTV unifi TV sebagai sebahagian perkhidmatan Internet jalur lebar kelajuan tinggi unifi yang dilancarkan pada tahun 2010[11], termasuk juga saluran HDTV.

Pada tahun 2011, Astro B.yond juga ditawarkan dalam bentuk siaran IPTV dengan usahasama TIME.[12]

Rujukan

WikiPedia: Televisyen_digital_di_Malaysia http://english.people.com.cn/200510/06/eng20051006... http://www.apb-news.com/index.php?option=com_magaz... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.rapidtvnews.com/index.php/200903053299/... http://amanz.my/2011/04/astro-byond-iptv/ http://www.astro.com.my http://www.astro.com.my/mobiletv/ http://www.bharian.com.my/articles/TMbelanjaRM2bil...